Wednesday, November 16, 2011

Say "NO TO COUPLE"

Di petik dari sebuah blog sebagai peringatan utk diri sendiri dan bersama :
Persoalan 1 :

"Saya kenal dia melalui FB. Dah lama gak kami berkawan, ada la nak dekat setahun. Hubungan kami memang intim. Tapi setakat ni ringan-ringan lagi. Kadang-kadang tu...memanglah takut. Tapi nak wat camne? Saya sayang giler kat dia"

Persoalan 2 :

"Saya dah sedar zina tu dosa dan nak bertaubat. Tapi......Saya masih sayang lagi kat dia. Takkan saya nak tinggalkan dia setelah dah berzina dengan dia?"

"Sedihnya...Ni la yang confius ni. Niat ni memang nak taubat. Tapi kenangan yang lama tu ganggu nak taubat. Nak tinggal ke nak terus kan dengan dia? Kalu nak tinggal, mane tanggungjawabnya?"

Persoalan 3 : 

"Dah hampir 8 bulan saya putus ngan BF saya, tapi sampai skang still lagi teringatkan kenangan kami bersama. Ada masa tu memang tak tahan. Mmmmm...nak tanya ckit, apa hukum onani? Huhu...."




AWAS! NAK COUPLE BOLEH, TAPI JAWAB DULU SOALAN2 INI 

Bagi mereka yang sedang, belum atau sudah terjebak dengan "keindahan bercouple", sama ada yang zahir atau pun yang batin silalah menjawab soalan-soalan ini pula :



1. Bumi ini, diri kita dan si dia siapa yang cipta? Tidakkah kita melanggar perintah Allah SWT?

"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan." (Surah al-Isra’ 17: 32)

Fahamilah bahawa Allah tidak menggunakan ungkapan "jangan kamu berzina" tetapi digunakan "jangan kamuMENGHAMPIRI zina". Bercinta sebelum kahwin adalah perbuatan yang menghampirkan seseorang itu kepada perbuatan keji tersebut.

Mengapa ye?


2. Tidakkah kita bersetuju bahawa :

Bercinta adalah langkah pertama kepada berlakunya zina. Bila seseorang telah memulakannya maka dia telah memasuki perangkap yang dipasang oleh syaitan sebagaimana hadis Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya Allah menetapkan atas anak Adam bahagian daripada zina. Dia pasti akan mendapatnya. Maka, zinanya mata adalah dengan memandang (yang haram) dan zina lisan adalah dengan berbicara. Sementara jiwa itu berangan-angan dan berkeinginan, sedangkan kemaluan yang membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (al-Bukhari dan Muslim)

3. Ketika kita bercinta atau tengah "dating", mata kita tengok kat mana? Ada rasa terujakan?

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada laki-laki yang beriman : "Hendaklah mereka menahan sebagian pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman : "Hendaklah mereka menahan sebagian pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka…" (Al-Nur: 30-31)

Setuju tak?

Sesiapa yang terlibat dengan budaya bercinta tidak akan mampu untuk menjaga pandangan mereka daripada melihat kepada pasangannya dan alangkah banyaknya dosa yang telah mereka lakukan


4. Ketika janji nak "dating" ada tak ingat pesan Nabi kita?

“Tidaklah sekali-kali seorang lelaki bersunyian dengan seorang wanita melainkan yang ketiganya adalah syaitan.” (a-Tirmidzi)
Untuk apakah syaitan menemani?
Tiada tujuan lain melainkan untuk menghasut mereka agar melakukan perbuatan keji iaitu zina.


5. Bila nak cari tempat "dating" ada baca tak larangan daripada Nabi ni?
“Sekali-kali tidak boleh seorang laki-laki bersepi-sepi dengan seorang wanita kecuali wanita itu bersama mahramnya.” (al-Bukhari dan Muslim)

6. "Opsss!! Sori tersentuh tangan. Hehe..." Itu mula-mula, lama-lama dah biasa kan? Tersentuh bahu ada tak? Duduk rapat-rapat? Memanglah beralas tapi tak dosa ke?

"Ditusuk dengan besi di kepala seseorang lelaki lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya." ( al-Tabarani)

Adakah orang yang bercinta ini tidak akan menyentuh pasangannya?
Sekiranya tidak, maka hebat benar iman orang tu!


7. Dalam seminggu, sebulan berapa kali top up handphone?

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.” Demikian gambaran atau kedudukan orang yang membazir di sisi Allah (al-Isra’ 27).

Melakukan pembaziran masa dan harta berdasarkan wang yang dihabiskan untuk menghantar sms, mms atau menghabiskan banyak masa untuk ‘chatting’melalui internet, sehingga ada pelajar yang sanggup "berpuasa" untuk berjimat duit belanja sekolah untuk memenuhi tujuan tersebut.

Kalau pelajar universiti, bila duit biasiswa atau PTPTN masuk, terus keluar berjoli, dengan siapa ye?
Duit yang diberi tu amanah kan?


8. Kadang-kadang baca buku tak masuk kepala, kenapa ye? Kenapa hati susah menerima ilmu? Ilmu itu cahaya, kalau hati kotor dan gelap, bagaimana cahaya mahu menembusinya?

Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya Syed Waqi' tentang kesusahan dirinya untuk menghafal Al Quran . Gurunya menyuruh Imam Syafie meninggalkan segala dosa besar dan dosa kecil kerana :
"Sesungguhnya ilmu itu cahaya, sedangkan cahaya ALLAH SWT itu tidak dikurniakan kepada orang yang melakukan dosa dan maksiat".

Hilang keberkatan dalam menuntut ilmu kerana dosa yang banyak dilakukan menyebabkan hati sukar untuk menerima ilmu. Ilmu hanya menghuni di hati yang suci bersih.

Walaupun kita pandai, tapi berkat tak ilmu tu?


9. Prestasi belajar kita pula bagaimana? Ada orang kata boleh mengganggu tumpuan dalam pembelajaran disebabkan asyik teringatkan ‘buah hati’, betul ke?

"Maka apabila mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mereka itu mempunyai telinga dan dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukan mata itu yang buta tetapi yang buta adalah hati yang di dalam dada." (Al-haj, ayat 46)

Benar cinta itu buta, sampaikan hati juga menjadi buta. Buta hati.


10. Apa perasaan ibu bapa kita kalau nampak anak mereka di sekolah, di universiti seronok berkasih-kasihan dengan kekasih hati? Apa perasaan mereka kalau dapat tahu anaknya sudah terlanjur?

"Membohongi kedua ibubapa kerana harapan mereka untuk melihat anaknya cemerlang dalam akademik tetapi terpesong kepada cemerlang dalam mencari pasangan hidup pada usia yang muda. Apatah lagi sekiranya maruah dirinya tergadai dan hilang kehormatan diri. Tidak mampu dibayangkan betapa kecewanya mereka."

Mak telefon hari ahad, tanya kita kat mana. Kita jawab sedang belajar di bilik, padahal sedang berseronok keluar dengan kekasih di bandar.


11. Kalau cikgu atau pensyarah dapat tahu kita belajar main-main, tak fokus dalam kelas, tak siap assignment sebab sibuk bercinta, tak terguriskah hati mereka?

"Menyakiti hati guru dengan melaksanakan perkara haram tersebut. Tiada seorang pun guru ingin melihat anak didiknya gagal dalam pelajaran atau tercemar maruah dirinya disebabkan tindakan bodoh masa remajanya yang tidak dapat dikawal."


12. Setuju tak? Bila bersama dengan kawan kita kurang berbuat dosa, tapi bila bersama kekasih banyak dosa kita buat. Sampaikan hati yang rasa bersalah pada mulanya semakin lama sudah tidak rasa bersalah, malah sudah tidak malu untuk buat dosa tersebut. Hati rasa seronok berbuat dosa.

"Bila dosa semakin menimbun, Allah janjikan neraka, ekoran banyak melanggar perintah Allah SWT dan amaran Rasulullah SAW. Lebih buruk lagi sekiranya mereka meninggal dunia dalam keadaan tidak bertaubat kepada Allah SWT." Naudzubillah!


13. Solat kita khusyuk tak?

Sentiasa lalai dan leka daripada mengingati Allah SWT. Akal dan hati fikiran tidak lagi mengingati Allah hatta ketika dalam solat sekalipun kerana jiwanya yang cenderung kepada mengingati pasangannya. Oleh yang demikian tiada ketenangan dalam jiwa mereka kerana ketenangan yang sebenar hanyalah dengan mengingati Allah SWT.


14. Mengapa hati tak tenang dalam setiap perkara kita lakukan? Hanyalah dengan mengingati Allah hati akan tenang. 
 "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". (Ar-Ra'd : ayat 28)

15. Bila nasi sudah menjadi bubur, boleh tak bubur nak jadi nasi semula?

Hilang maruah dan harga diri kerana terlanjur melayan perasaan cinta tersebut. Telah terbukti gejala seks bebas yang menimpa remaja pada masa kini semuanya bermula dengan bercinta pada usia muda. Lebih parah lagi mereka menjadi ketagih dengan zina. Jika tidak dapat berzina mereka sanggup beronani untuk menghilangkan kergersangan.  Dosa besar yang mereka lakukan ini menyebabkan iman tercabut daripada hati mereka dan tunggulah azab yang pedih di neraka.



16. Kalau sudah berumahtangga nanti, suami dapat tahu bagaimana pula?

Ikatan perkahwinan yang akan datang menjadi keruh sekiranya suami mengetahui sejarah silam pasangannya yang pernah bercinta dengan orang lain. Pelbagai andaian buruk akan terbayang dalam fikirannya. 

Adakah pasangan yang bercinta pada zaman persekolahan atau zaman universiti akan kekal hingga ke alam perkahwinan? Apakah perasaan sekiranya dapat tahu suami atau isteri pernah bercinta dengan orang lain sebelum ini?


17. Adakah kita tahu mengapakah kite semua diciptakan oleh Allah di dunia ni? Allah tak menciptakan kita hanya suka-suka. Hanya untuk enjoy dan suka-suka.


"Maka apakah kamu mengira, bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main (tanpa maksud), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"-Surah Al-Mukminun (23):115


Jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk beribadah dan juga mengabdikan diri kepada Allah SWT.

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepada-Ku." -Surah Adz-Dzariyat (51):56..

Bercinta selepas kahwin itu beribadah, bercinta sebelum kahwin itu bermaksiat. 











REMAJA, ZINA DAN SEKS

Pergeseran kefahaman seperti dosa masing-masing tanggung, kubur masing-masing jaga, membuatkan masalah dosa dan zina sesuatu yang mula dipandang remeh. Seks adalah satu anugerah Allah yang diberikan kepada manusia sebagai satu nikmat dan perhiasan kehidupan seperti juga binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Memang patut kalau manusia ghairah seks atau berasa hendak melampiaskan keinginan seksual itu.

"Tapi jangan jadi binatang!"

Allah beri manusia akal yang sihat lagi cerdik berbanding binatang. Anugerah seks yang Allah beri perlu disyukuri dengan cara paling hormat!

Malah Allah sesekali tidak melarang manusia melampiaskan hawa nafsunya selama mana cara yang dihalalkan, pada saat yang tidak terlarang dengan ikatan perkahwinan yang sah. Ikatan pernikahan adalah jalan yang halal dan diiktiraf syarak untuk melepaskan kemahuan seks. Ini bererti orang yang belum berkahwin jangan cuba-cuba melepaskan seksnya.

Susahkah berkahwin?

Sebagai satu agama yang amat hebat, Allah yang Maha Cerdik menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual, iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang banyak kali kita baca , perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’

Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya.

Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram. Kalau ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah. 







TAKUT JADI REMAJA?

Alam remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut Nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.

Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, “sesungguhnya aku takut kepada Allah.

Sebagai seorang pelajar kenanglah jasa ayah dan ibu yang bersusah payah membesar kita. Balaslah jasa mereka, buktikan kepada mereka, dan jadilah anak yang soleh solehah yang berjaya di dunia dan akhirat.

"Jika kita tidak disibukkan dengan urusan kebaikkan, nescaya kita akan disibukkan dengan urusan kebatilan." - Hassan Al-Basri

Maka, sibukkanlah diri kita dengan belajar dan "berkerja" untuk Islam. Pasti dan insyaAllah kita akan terselamat daripada perangkap syaitan mahu pun perkataan yang bergelar "onani".

Perlu diingatkan bahawa :

"Syaitan akan menjadikan mereka yang terlibat dengan budaya couple ini merasakan perkara haram itu banyak memberi banyak kebaikan kepada mereka. Maka pelbagai alasan diberikan untuk menghalalkan perbuatan mereka. 
Antara alasan yang diberikan ialah untuk semangat belajar, hilangkan tension, senang nak mengadu masalah, peneman di waktu kesepian, hilangkan boring, untuk menenangkan fikiran, tidak ingin ketinggalan zaman, untuk memudahkan ‘study group’ dan beribu alasan lagi. 
Semua itu adalah tipu helah dan jerangkap samar yang dipasang oleh syaitan untuk memerangkap remaja Islam masa kini."

Amalkan lah langkah pencegahan menurut Islam :

1.  Jaga pandangan mata dengan tidak melihat aurat jantina berlainan termasuk gambar serta filem pornografi.
2.  Tidak berdua-duaan lelaki dan wanita yang bukan mahram di tempat sunyi.
3.  Tidak bersentuhan kulit antara lelaki wanita termasuk bersalaman.
4.  Tidak bergaul bebas lelaki wanita tanpa batas.
5.  Tidak melayan orang yang tidak dikenali di FB kerana ramai sudah "terbabas."

Tuesday, November 15, 2011

Iman 4.0 flat!

Mungkin apa yang ingin aku sampaikan ini adalah perkara biasa bagi sesetengah individu. Namun, aku harapkan moga pengalaman hidup ini dapat dijadikan iktibar dan titik tolak perubahan insan yang membacanya. Insya-Allah.
Aku berasal daripada keluarga yang serba kekurangan... makan, minum dan pakaian jauh sama sekali seperti rakan-rakan yang lain. Mungkin ini yang menyebabkan aku kurang mempunyai sahabat yang dapat mendengar keluh-kesah hidupku. Seingat aku, hanya ada tiga insan yang teramat penting dan bermakna dalam hidup pada waktu itu, ibu, kakak dan abang Cik. Mereka antara insan kurniaan Tuhan yang sentiasa menjadi tempat untukku bergurau dan berjenaka. Sahabat? Saat itu aku masih belum memahami makna di sebalik perkataan itu.
Aku masih ingat ketika saat aku ingin melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi. Dengan berbekalkan duit hasil daripada pemberian saudara terdekat, aku membawa diri menuju ke sebuah negeri yang sebelum ini belum pernah ku jejaki. Keseorangan diri, bukan bersama keluarga seperti insan dan rakan-rakanku yang lain. Aku masih ingat kata-kata arwah ibu beberapa hari sebelum keberangkatanku.
"Alif tak payah pergilah Kedah. Kalau mak sakit ke, mati ke, Alif takkan sempat jumpa mak.."
Kata-kata yang pada waktu itu sukar untukku tafsirkan dengan logik akal. Apa yang penting bagiku pada waktu itu ialah dapat melanjutkan pelajaran walau sejauh mana pun kaki ini perlu melangkah. Benak hati terfikir, mungkin ibu risau tentang perjalanan aku nanti. Jauh, dari Pahang menuju ke Kedah mengambil masa 10 jam dengan menaiki bas. Seorang diri pula.
"Allah ada ibu, Allah ada..."
Alhamdulillah, dengan bekal hanya Iman dan tawakal, akhirnya sampai juga kaki ini ke medan perjuangan ilmu bergelar Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah. Melihat rakan-rakan yang datang bersama keluarga, tergambar betapa gembiranya perasaan mereka. Bertuah mereka, patut bersyukur pada Ilahi. Ibu dan ayah mereka senang, ada kereta untuk membawa anak tersayang menuju ke medan perang. Ayah aku? Hmm... teringat pula kereta lamanya yang tersadai di depan rumah. Ayah selalu bertarung dengan kereta kesayangannya itu. Sekali sekala syukur jika kereta itu dapat dihidupkan, tetapi selalunya memang sukar mendengar deruman enjin daripadanya.
Harapan aku hanyalah satu, aku ingin memiliki satu-satunya angka yang cukup dikejar oleh pelajar ketika itu, 4.0 flat. Doa dan usaha aku gandakan dari hari ke hari demi mengejar kejayaan tersebut. Teringin sekali membawa balik angka tersebut dan menunjukkannya pada ibu. Walaupun ibu mungkin tidak mengerti apa makna di sebalik angka itu, cukuplah dapat melihat senyuman di wajahnya tatkala aku mengatakan aku antara pelajar cemerlang di kolej ini. Harapan itu aku simpan dan semat di dada. Adakah peristiwa itu akan telah tertulis di Lauh Mahfuz? Sungguh, Tuhan lebih mengetahui.
Aku masih ingat hari itu, hari Khamis. Aku keluar dari bilik kuliah dan menuju ke kantin. Aku cuba meraba-raba poket, mencari sekiranya masih ada sisa-sisa wang yang masih tinggal. Harapanku hancur, poketku kosong. Duit elaun telah habis aku gunakan untuk membeli barang-barang untuk menghadapi kuliah dan peperiksaan nanti. Dengan niat berpuasa, aku melangkah longlai menuju ke arah bilik. Mataku masih memandang rakan-rakan yang sedang enak menjamu selera masing-masing. Kalau ikutkan nafsu, ingin saja aku pergi ke arah mereka dan meminjam wang seperti sebelum ini. Namun bila memikirkan hutang yang masih tidak dapat aku langsaikan, aku mengalah. "Minum air paip lagi hari ni," desis hati kecilku.
Salah satu cara untuk aku menghilangkan rasa lapar adalah tidur. Cara itulah yang sering aku lakukan sejak daripada kecil lagi. Keluarga yang miskin menyebabkan kami sekeluarga sering menahan lapar sehingga berhari-hari lamanya. Mungkin sebab itu puasa tidak menjadi satu masalah buatku. Berlapar di siang hari sudah menjadi rutin waktu kecilku. Malam? Hanya minum air paip dan terus tidur.
Aku melemparkan badan yang kian penat di atas katil dan cuba untuk lelap. Peliknya pada hari itu, aku mudah melelapkan mata, tidak seperti selalu. Dalam tidur, aku bermimpi perkara yang amat aneh sekali. Bayangkan, dua buah kotak masing-masing berada di sebelah kiri dan kanan. Lalu dua kotak itu bergerak menuju ke tengah antara kiri dan kanan, bercantum menjadi satu kotak. Setelah lama kemudian, hanya salah satu kotak sahaja yang kembali ke tempat asalnya tadi iaitu di sebelah kanan sedang kotak yang asalnya berada di sebelah kiri masih kekal di tengah-tengah.
Aku tersentak dengan deringan telefon bimbit yang berada di sisi. Dengan mata yang kurang jelas kerana tidak memakai cermin mata, aku melihat nombor yang tertera di skrin telefon. Ni nombor ayah, desis hati. Tanpa berfikir panjang aku terus menjawab panggilan tersebut. Eh, kenapa suara abang aku yang keluar ni? Mungkin talian di sana tidak berapa baik, sebab itu suara ayah dah macam suara abang, fikirku.
"Alif, mak dah takde..."
Kata-kata abang itu aku sambut dengan jeritan yang teramat. Sukar untuk aku percaya saat itu. Dalam keadaan wang yang kosong, aku bergegas menuju ke bilik sahabatku, Kamal. Saat itu, hanya dia yang terbit di benak fikiran. Mungkin dia dapat meminjamkan sedikit duit untuk tambang bas pulang nanti. Sesampai aku di muka pintunya, dia secara spontan melihat ke arahku lalu bertanyakan hajat kedatanganku.
"Mak aku dah meninggal Mal. Aku nak balik tapi takde duit. Pinjam RM50 Mal, nanti aku bayar balik..."
"Takpe, kau tunggu sini, nanti aku datang balik. Tunggu kejap..." 
Itulah sifat seorang sahabat. Dengan menebalkan mukanya demi seorang sahabat yang dalam kesusahan, dia pergi dari satu bilik ke bilik yang lain untuk meminta sedikit bantuan bagi membantuku. Beberapa minit kemudian dia kembali dengan membawa sejumlah wang.
"Nah Lif, RM150 budak-budak ni yang kasi. Tak payah bayar balik, kau buat tambang bas dan makan minum kau dalam perjalanan nanti. Aku tahu kau tak makan dari semalam. Nanti aku jumpa pensyarah untuk tanyakan tentang bas. Budak sekolah kebetulan balik cuti seminggu hari ni lif, jadi tiket bas ke timur banyak dah habis. Kau tunggu sini."
........................................................................
Mataku memandang tepat ke arah mayat itu. Aku masih tidak dapat menerima hakikat tersebut. Itu bukan ibuku, aku memandang ke  arah langit lalu bertanya seolah-olah insan yang sudah kehilangan akal dan akidah. Ya Allah, apa dosa aku sehingga kau uji aku sebegini rupa? Air mata lantas membasahi pipi, seperti  menjawab persoalanku. Aku pergi tanpa redha ibuku... ucapan terakhirnya masih terngiang-ngiang lagi di benakku...
"Alif tak payah pergilah Kedah. Kalau mak sakit ke, mati ke, Alif takkan sempat jumpa mak..."
Keberkatan dalam hidupku mula hilang, itu yang dapat aku rasai. Peperiksaan akhir semester satu merupakan penyeksaan buatku. Sukar sekali untuk aku menjawab persoalan yang diberi walaupun sebenarnya aku mengetahui jawapannya. Betul, walaupun aku tahu jawapan di sebalik soalan, aku masih tidak mampu menjawabnya, sukar untuk difahami, tapi itulah apa yang aku alami. Waktu itu aku mulai sedar, angka yang selama ini aku kejar tidak mungkin dapat aku miliki. Satu sahaja doa yang sering aku panjatkan pada Ilahi.
"Ya Allah, sekiranya Engkau tidak mengizinkan aku untuk memiliki 4.0 flat dalam pelajaranku, izinkanlah aku mendapat 4.0 flat dalam Imanku Ya Allah. Amin"
Saat itu barulah aku benar-benar sedar, aku terlalu mengejar 4.0 flat sehingga aku lupa tentang keberkatan daripada seorang ibu. Apabila keputusan diumumkan, hanya seorang pelajar sahaja yang mendapat 4.0 flat dalam kolejku. 4.0 flat, yang terbaik dan sempurna sekali, semua  "A". Sehingga hari ini baru aku sedar, bukan 4.0 flat itu yang aku kejar. Tapi Iman 4.0 flat, Iman yang sempurna daripada semua segi. Semuanya "A", seperti para sahabat Baginda Nabi Muhammad S.A.W.
"Ya Allah, kurniakan aku iman 4.0 flat, Iman yang sempurna..."
Pada kawan-kawan dan para sahabat yang membaca, harap kamu semua dapat mengambil iktibar. Sampai saat ini, keberkatan dalam menuntut  ilmu masih saya tercari-cari. Usaha telah saya lipat gandakan, pensyarah dan tenaga pengajar telah sehabis usaha saya hormati. Namun kemudahan dalam menuntut ilmu tidak lagi saya rasai seperti dulu. Keputusan dalam peperiksaan semakin menurun dan tekanan dalam hidup semakin bertambah. Kenapa? Kerana Ibu.  
Saya berasal dari keluarga yang susah dan waktu penghijrahan saya ke Kedah itu adalah saat di mana ibu sedang mengalami sakit tenat tetapi saya tetap dengan pendirian untuk menuntut ilmu dengan harapan dapat membetulkan umat Islam dan diri sendiri. Sedangkan saya tidak sedar saya  dalam kemurkaan Allah. Sehingga hari ini saya berdoa, moga Allah ampunkan dosa saya terhadap ibu. Tiap-tiap pagi saya hadiahkan pahala al-Mathurat buat ibu, tetapi masih sehingga kini belum terjawab persoalan di benak fikiran. Anak soleh atau anak derhakakah aku ini?
Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda: 'Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara, sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.'
[Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya]
Ingat sahabat sekalian, nabi menyebut "anak yang soleh". Ada satu syarat yang teramat berat sekali di situ iaitu soleh.
"Senangnya soleh di mata manusia, tetapi sukarnya untuk soleh di sisi Maha Pencipta."
P/S :Artikel yang dipetik dari iluvislam.com utk renungan bersama..wassalam..:)