Friday, December 23, 2011

Koleksi hadith Rasulullah

MENGUBAH CIPTAAN ALLAH S.W.T.


Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, 
sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w pernah melihat 
seorang kanak-kanak yang telah dicukur sebahagian rambutnya
 dan sebahagian yang lain dibiarkannya. Lalu baginda melarang
 mereka dari berbuat sedemikian sambil bersabda: "Cukurlah 
semuanya atau biarkanlah semuanya." (Hadis riwayat Abu Daud). 
Kesimpulan Hadis: 
1- Larangan dari mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan 
sebahagian yang lain. Larangan di sini ialah larangan yang sangat
 dibenci manakala hikmat dari larangan ini ialah kerana dia cuba
 mengubah ciptaan Allah s.w.t. 
2- Harus mencukur rambut keseluruhannya dan harus juga 
membiarkannya kesemuanya dengan syarat kebersihannya 
hendaklah dijaga dan tidak menyerupai kaum perempuan. 


BUMI AKAN MENJADI SAKSI


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w
 membaca ayat ini: Yang bermaksud: Pada hari itu bumi menceritakan
 beritanya. Kemudian baginda bertanya: Adakah kamu tahu apakah
 yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti? Para sahabat 
menjawab: Allah s.w.t. dan RasulNya yang lebih mengetahui. 
Baginda s.a.w. bersabda: 
"Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi
 menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki
 ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya.
 Bumi akan berkata: Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu
 dan ini. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 
Kesimpulan Hadis: 
1- Dorongan supaya melakukan amalan soleh dan menjauhkan diri
 dari melakukan maksiat. 
2- Kemampuan Allah s.w.t menjadikan benda-benda yang keras dapat 
bercakap di mana bumi akan memberi saksi terhadap setiap perkara
 yang berlaku. 
3- Larangan keras terhadap orang yang melakukan maksiat, walaupun
 dia jauh dari pandangan orang lain tetapi bumi tetap akan memberi
 saksi di hadapan Allah s.w.t yang menjadi hakim di hari kiamat kelak.


KELEBIHAN MEMBERI MAKAN KETIKA BERBUKA PUASA DIBULAN RAMADHAN


Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy r.a 
katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang menjemput orang
 yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana
 pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala
 orang yang berpuasa tersebut." 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).
 

Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis: 
1- Penjelasan tentang kelebihan orang yang menjemput orang yang 
berpuasa berbuka malah disunatkan berbuat demikian serta dorongan
 supaya melakukannya. 
2- Dalam tindakan menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka
 terdapat seruan kepada kasih-sayang, persamaan dan bantu-membantu 
di kalangan umat Islam. 
3- Pahala seperti ini akan diganjarkan kepada sesiapa sahaja yang 
menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka walaupun hanya dengan 
sebiji kurma, seteguk air minum atau seteguk susu. 


AMALAN PEMBERI SYAFA'AT DIHARI KIAMAT


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w
 bersabda: "Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang 
hamba pada hari kiamat." (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis: 

1- Di antara kelebihan ibadat puasa ialah ia akan memberi syafaat kepada
 orang yang berpuasa pada hari kiamat kelak apabila umat Islam menunaikannya
 secara sempurna dengan meninggalkan makan, minum, hawa nafsu, bercakap
 dengan percakapan yang diharamkan, melihat kepada benda yang diharamkan 
dan mencari rezeki melalui cara diharamkan. 
2- Kelebihan bacaan Al-Quran di mana ia akan memberi syafaat kepada orang 
yang membacanya pada hari kiamat kelak. 


CINTAKAN DUNIA


Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Hampir tiba 
suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni
 kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan
 mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit
 pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali,
 tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut
 rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. 
akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat
 bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita
 menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". 
H.R. Abu Daud 
Keterangan
Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Keadaan umat Islam
 pada hari ini, menggarnbarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.
 Umat Islam walaupun mereka mernpunyai bilangan yang banyak, iaitu 1,000 juta
 (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan
 bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya.
 Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walau pun berbeza-beza agama, mereka bersatu
 untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya. 
Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum
 muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit 'wahan" yang merupakan penyakit campuran
 dari dua unsur yang selalu wujud dalarn bentuk kembar dua, iaitu “cinta dunia” dan
 'takut mati". Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. "Cinta dunia" bermakna
 tamak, rakus, bakhil danti dak mahu mendermakan harta di jalan Allah s.w.t
Manakala “takut mati" pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak 
membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk
 berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agarna Allah s.w.t
Kitaa berdoa agar Allah s.w.t. menurunkan mushrahNya kepada kaum muslimin dan
 memberikan kepada mereka kejayaan di dunia dan di akhirat. Insyallah.
 

DOA MALAM LAILATUL QADAR


Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Aku bertanya: Wahai Rasulullah!
 Apa pendapat kamu sekiranya aku mengetahui (mendapati) malam lailatulqadar, 
apakah yang harus aku baca pada malam tersebut? Baginda s.a.w.
 bersabda:"Bacalah doa: Yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya Engkau 
adalah Zat Yang Maha Pengampun dan suka memberi pengampunan, oleh yang
 demikian ampunilah diriku)." 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 
Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis: 
1- Permintaan yang paling penting bagi orang Islam ialah kesuciannya dari segala
 dosa dan penebusan diri dari perbuatan maksiat. 
2- Galakkan supaya memohon keampunan daripada Allah s.w.t dan sentiasa memohon
 keampunan tersebut lebih-lebih lagi pada masa yang dimakbulkan segala doa 
terutamanya pada malam lailatulqadar. 
3- Di antara tanda-tanda malam lailatulqadar ialah terasa lapang dada, orang Islam 
terasa tenang jiwa bersama Allah s.w.t, cuaca dan suasana malam dalam keadaan 
sederhana serta matahari terbit pada waktu pagi dengan cuaca yang putih tanpa 
memancarkan sinaran. 


ORANG MUKMIN YANG DIUJI ALLAH S.W.T.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
 "Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t
sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t 
tanpa dia membawa dosa sedikitpun." 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 
Kesimpulan Hadis: 
1- Sabar menghadapi cubaan boleh menghapuskan segala dosa. 
2- Cubaan yang paling dahsyat adalah cubaan yang dihadapi oleh para nabi 
kemudian orang-orang soleh seterusnya ke bawah secara berturut-turut


SETIAP UMAT ADA UJIANNYA


Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w
 bersabda:
"Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta

 kekayaan. " (Hadis riwayat Imam Tirmizi).  Kesimpulan Hadis:  
Allah s.w.t menjadikan harta sebagai perhiasan kehidupan dunia dan menjadikan
 fitrah kejadian manusia lebih cenderung kepada harta dan suka mengumpul harta, 
oleh yang demikian umat Islam hendaklah berhati-hati di dalam mengumpulkan 
harta di mana dia hendaklah mengumpulkan harta yang halal dan menjauhkan diri
 dari mengumpulkan harta yang haram. 


SOLAT SUNNAT ENAM RAKAAT


Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w " Barangsiapayang
 solat sesudah maghrib enam rakaat dimana tidak berkata-kata ia diantaranya
 dan kata-kata buruk, menyamailah solat itu baginya dengan ibadah 12 tahun" 


BALASAN SYURGA PADA YANG SABAR


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w
 bersabda di dalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman: "Tidak ada balasan kecuali
 syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya
 (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan 
sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan 
dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). " 
(Hadis riwayat Imam Bukhari).
 

Kesimpulan Hadis: 
1- Tabah dan sabar menghadapi musibah adalah merupakan tanda-tanda 
kesempurnaan iman manakala keluh-kesah dan bimbang adalah merupakan 
tanda-tanda kelemahan iman. 
2- Keagungan ganjaran tabah menghadapi musibah.


DIHARAMKAN MEMASUKI SYURGA


Bersabda Rasulullah s.a.w "Tiada seorang pembesar yang mati sedang ia
 mati dalam keadaan menipu rakyatnya,melainkanAllah akan mengharamkannya
 memasuki syurga."
 

AMALAN PALING UTAMA


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah
 ditanya: "Apakah amalan yang paling utama? Baginda s.a.w. bersabda:
 "Beriman kepada Allah s.w.tSahabat bertanya lagi: Kemudian apa?
 Rasulullah s.a.w bersabda: Jihad pada jalan Allah s.w.t.iaitu berjuang 
pada jalan Allah s.w.t. dan Sahabat bertanya lagi: Kemudian apa?
 Rasulullah s.a.w bersabda: Haji Mabrur iaitu ibadat Haji yang diterima"
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya: Aku pernah bertanya 
Rasulullah s.a.w
"Apakah amalan yang paling utama? Baginda s.a.w. bersabda: Sembahyang
 pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w.
 bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian
 apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berjuang pada jalan Allah.Kemudian
 aku bertanya lagi kepada Baginda s.a.w., semata-mata ingin menemani dan
 menjaga perasaan Baginda s.a.w."
Adakah jihad ke arah pembangunan dan ekonomi seperti yang disyorkan oleh
 media massa itu dapat mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t? Apa matlamat 
jihad pembangunan dan ekonomi itu, disandarkan kepada apa ? Keranamu Malaysia ? 
Dimata dunia ? Dapatkah harta benda kita di bawa ke liang lahad dan menjadi
 penolong kita di akhirat ? 
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
 Tiga perkara yang akan mengikuti mayat dan dua daripadanya akan pulang.
 Hanya satu sahaja yang akan bersamanya dalam kubur. Perkara tersebut ialah:
 Kaum kerabat, harta benda dan amalannya. Semua kaum kerabat dan harta 
bendanya akan pulang, manakala yang kekal bersamanya ialah amalannya *  
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh
 pada jalan Allah(dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa - semasa 
mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah S.W.T.
 dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka
 (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis
 kesenangan hidup). - Surah Al-Imran 157.
 

PENYESALAN DIHARI KIAMAT


Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Orang yang paling menyesal pada
 hari Kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia
 tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu
 kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu
 sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa." 


PENJELASANNYA 
Hadis ini menggalakkan umat Muslimin supaya menggunakan segala kesempatan 
hidup di dunia untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang berguna kepada
 kehidupan keagamaan dan keduniaannya. Dengan ilmu pengetahuan yang betul, 
dapat dilakukan amalan-amalan ibadah yang betul. Amalan ibadah tanpa ilmu 
pengetahuan yang betul boleh menjerumuskan seseorang ke dalam bida'ah
 dan kekeliruan yang merosakkan agamanya. 
Disamping itu ilmu pengetahuan boleh membuka ufuk pemikiran dan mendalamkan
 kesedaran dan keinsafan yang menguatkan keyakinan dan tauhidnya terhadap 
Allah s.w.t., dan dengan demikian akan meningkatkan darjatnya disisi Allah di hari 
Kiamat kelak. 
Hadis ini juga menggariskan satu panduan yang penting iaitu tujuan belajar
 ialah beramal sama ada ia seorang pelajar atau seorang guru, kerana amalan
 itu merupakan nilai ilmu dan nilai seseorang yang berilmu. 
Kata pepatah Arab "Ilmu tanpa amal laksana pokok tanpa buah" alangkah ruginya
 seseorang guru yang tidak mandapat apa-apa guna dari ilmunya sedangkan orang
 yang belajar darinya memungut  keuntungan -keuntungan yang abadi
 

PENANGGUHAN HUTANG


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Baginda s.a.w. bersabda: 
 "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah s.w.t. akan menaunginya di bawah 
naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naunganNya." 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).  

Kesimpulan Hadis:  
1- Galakan supaya bertolak ansur dengan orang yang berhutang sama ada secara 
menangguhkan tempoh pembayaran hutang ataupun secara membebaskannya dari
 kesemua hutang atau sebahagiannya sahaja.  
2- Kelebihan orang yang bertolak ansur dengan orang yang berhutang di mana dia 
akan mendapat ganjaran yang sangat besar dan mendapat balasan yang baik di akhirat
 kelak.  
3- Kelebihan mempermudahkan kepentingan orang lain dan menghulurkan bantuan kepada
 mereka serta harus berurusan dengan cara hutang.


ADAB MAKAN DAN MINUM


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
 "Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan
 tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan 
kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya."
 (Hadis riwayat Imam Muslim).

Kesimpulan Hadis: 

1- Makruh makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri kerana ianya adalah
 di antara adat-adat syaitan dan sesiapa yang melakukan sedemikian, bererti dia 
menyerupai syaitan. 
2- Sunat mengutamakan anggota sebelah kanan di dalam semua perkara sehinggalah
 di dalam persoalan memakai kasut dan keluar dari rumah. 
3- Ancaman dari melakukan perkara yang jelas disebut di dalam hadis sebagai
 perbuatan syaitan.


Wassalam.:)

Thursday, December 22, 2011

Sunnah makan Rasulullah.:)

Cara Rasulullah s.a.w makan

- Rasulullah memulakan makan dengan menyebut 'bismillah ...'

Dari 'Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: 'Bismillah' ). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwalahu wa akhirahu' (Dengan nama Allah yang memulai dan yang mengakhiri). " (Hadith Riwayat Abu Dawud dan atTirmidzi.)


Dari 'Amr bin Abu Salamah radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku:  "Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. (pada suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan: Bismillahi awwalahu wa akhirahu." Kemudian Nabi s.a.w. ketawa lalu bersabda: "Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya. (Riwayat Abu Dawud dan nasa'i)


Dari Aisyah radhiallahu'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. (pada suatu ketika) hendak makan sesuatu makanan bersama enam orang sahabat-sahabatnya. Lalu datanglah seorang A'rab (penghuni pedalaman negeri Arab), kemudian makan makanan itu dalam dua kali suap saja. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Sesungguhnya saja andaikata orang ini suka membaca Bismillah (sebelum makannya tadi) nescaya makanan itu dapat mencukupi engkau semua pula (kerana adanya keberkahan dalam makanan itu)."  (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih).

Membaca Basmalah sebelum makan insyaAllah boleh mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah s.w.t, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.


- Baca doa sebelum makan

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya : "Ya Allah berkatilah kami pada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan jauhkanlah kami dari azab neraka."


- Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang)

Dari Salamah bin al-Akwa' r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. Maka Baginda berkata: "Makanlah dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tak boleh". Baginda menjawab, "Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut." (Hadith Riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya." (Hadith Riwayat Muslim)


- Makan garam secubit sebelum makan

Mengikut cara Rasulullah s.a.w, sebelum baginda makan, baginda s.a.w akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya, lalu Rasullah s.a.w akan menghisap garam itu.

Kemudian barulah Rasulullah makan makanan tersebut. Mengapa?

Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yang kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan proses pertama penghadaman.

Mengapa menghisap garam?

Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dengan satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita.

Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan. Mengikut Dr, di hospital-hospital, kaedah rawatan mula-mula bagi keracunan adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin mengganggu manusia.


- Mula makan dari tepi (pinggir)

Dari Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah" (Hadith Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi)


- Makan yang berhampiran.

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Dan makanlah dari apa-apa yang ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w., dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: "Wahai budak, ucapkan 'Bismillah', makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


- Galakan guna tiga jari.

Dari Ka'ab bin Malik r.a., "Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)" (Hadith Riwayat Muslim)


- Kunyah makanan banyak kali

Rasulullah akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproses makanan itu.


- Larangan mencela makanan dan sunat memuji makanan

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. meminta lauk pauk kepada keluarganya, lalu mereka berkata: "Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Beliau s.a.w. lalu memintanya dan mulailah beliau makan serta bersabda: "Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik Iauk pauk ialah cuka." (Riwayat Muslim)


- Makruh bersandar ketika makan

Dari Abu Juhaifah iaitu Wahab bin Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku tidak pernah makan sambil bersandar (muttaki')." (Hadith Riwayat Bukhari)

Al-Khaththabi berkata: Almuttaki' di sini ialah orang yang duduk sambil bersandar pada alas sandaran yang diletakkan di bawahnya." Katanya: "Orang itu bukannya berkehendak akan duduk di atas alas sandaran atau bantal-bantal seperti kelakuan orang yang menghendaki untuk memperbanyakkan makanan, tetapi dia duduk tegak lurus dan tidak bersandar, juga makannya itu secukupnya belaka. Inilah yang diucapkan oleh al-Khaththabi.

Selain al-Khaththabi mengisyaratkan bahawasanya muttaki' ialah orang yang miring duduknya pada lambungnya yang sebelah. Wallahu a'lam.

Dari Anas r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah s.a.w. makan kurma sambil duduk berjongkok." (Hadith Riwayat Muslim)

Almuq'i atau duduk berjongkok itu ialah merapatkan kedua punggungnya ke bumi dan mendirikan kedua betisnya.

Maka kandungan dari hadith larangan makan sambil bersandar di atas, adalah sunnah makan sedikit dan tidak melampaui batas yang diperlukan, tawadhu' ketika makan dan tidak boleh menyerupai orang kafir, serta dilarang makan sambil bersandar.

Dari Anas r.a dia berkata, "Aku pernah menyaksikan Rasulullah s.a.w duduk bertinggung sambil makan kurma." (Hadith Riwayat Muslim)

Maka diperbolehkan makan sambil duduk bertinggung.


- Kutip makanan yang terjatuh.

Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah s.a.w., "Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberkatan" (Hadith Riwayat Muslim)


- Jilat jari setelah selesai

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau menyuruh orang lain melakukannya" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Ka'ab bin Malik r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah s.a.w. makan dengan menggunakan tiga jari. Kemudian setelah beliau selesai lalu menjilatinya." (Riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. menyuruh untuk menjilati jari-jari dan piring dan beliau bersabda: "Sesungguhnya engkau semua tidak mengetahui di makanan yang manakah terletaknya keberkahan itu." (Riwayat Muslim)


- Doa selepas makan

Dari Abi Umamah r.a., "Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in'. wa la mustaghnan 'anhu rabbana' " (Hadith Riwayat Bukhari)

الْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلاَ مُوَدَّعٍ وَلاَ مُسْتَغْنًى عَنْهُ رَبَّنَا

Maksudnya : "Sebanyak-banyak pujian bagi Allah pujian yang elok lagi berkat, tiada yang lebih baik, tempat berserah yang paling baik, yang paling kaya daripadaNya iaitu Tuhan kami."

Dari Muad bin Anas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, 'Alhamdulillah- illazi ath'amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin', akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadith Riwayat Tirmidzi)

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ

Maksudnya : "Segala puji bagi Allah yang memberiku makan makanan ini dan memberi rezeki daripadanya tanpa daya dan upaya dariku."

Juga boleh baca doa berikut

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

Maksudnya : "Segala puji bagi Allah Yang telah memberi makanan dan minuman kepada kami, dan telah menjadikan kami tergolong dalam orang-orang Muslim."


- Meramaikan orang untuk makan bersama

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Makanan untuk dua orang itu dapat mencukupi tiga orang sedang makanan untuk tiga orang itu dapat mencukupi empat orang." (Muttafaq 'alaih)

Dari Jabir r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Makanan untuk seorang itu dapat mencukupi dua orang dan makanan dua orang itu dapat mencukupi empat orang, sedang makanan empat orang itu dapat mencukupi lapan orang." (Riwayat Muslim)


- Galakan bercakap

Dalam al-Adzkar, Imam Nawawi mengatakan, “Dianjurkan berbicara ketika makan. Berkenaan dengan ini terdapat sebuah hadits yang dibawakan oleh Jabir r.a. sebagaimana yang telah kami kemukakan dalam “Bab memuji makanan”. Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahawa termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah orang-orang yang shalih dalam makanan.” (al-Adzkar hal 602, edisi terjemah cet. Sinar baru Algen Sindo)

Menurut al-Hafidz dan Syeikhul Islam Ibn al-Qayyim rh, pendapat yang benar ialah Nabi s.a.w bercakap dan berbual semasa makan. Dalam kitabnya alZaad (2/397), ada kalanya Nabi bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut (Hadith Riwayat Muslim: 2052), ada kala Nabi s.a.w mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya (Hadith Riwayat alBukhari: 5061) dan ada ketika Nabi sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk-pauk dan minuman (Hadith Riwayat alBukhari 6087). Adalah tidak benar meja makan menjadi tempat yang kaku dan senyap sepi dari perbualan.

Tetapi, jangan sampai bercakap itu apabila makanan penuh di dalam mulut.




Cara Rasulullah minum

- Tidak bernafas ketika minum

Dari Anas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. itu bernafas ketika minum sebanyak tiga kali." (Muttafaq 'alaih). Yakni bernafas di luar gelas atau cawan.

Dari Abu Qatadah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. melarang jikalau ditarik nafas dalam wadah." (Muttafaq 'alaih). Yakni ditariknya nafas dalam gelas atau cawan yang digunakan oleh seseorang itu minum.


- Makruh meniup ke dalam minuman

Dari Abu Said al-Khudri r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. melarang meniup dalam minuman. Ada seorang lelaki berkata: "Ada kotoran yang saya lihat di dalam wadah itu." Beliau s.a.w. bersabda: "Tuangkan saja (minuman yang ada kotoran itu)." Orang itu berkata lagi: "Sesungguhnya saya ini belum merasa puas minum dari sekali nafas." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Kalau begitu singkirkanlah dulu wadahnya itu dari mulutmu - dan bernafaslah di luar wadah." (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan sahih , juga diriwayatkan oleh Ahmad.)

Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma bahawasanya Nabi s.a.w. melarang bernafas di dalam wadah atau meniup ke dalamnya." (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih, juga diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majjah.)

Janganlah kita minum berdiri walaupun ia makruh tetapi ia makruh yang menghampiri kepada haram. Jangan kita minum dari bekas yg besar dan jangan bernafas sedang kita minum. Kerana apabila kita minum dari bekas yg besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Kerana apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dgn air H20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic.

Jangan meniup air yg panas, sebabnya sama diatas.  Cara minum, seteguk bernafas, seteguk bernafas sehingga habis.


- Larangan minum dari mulut bekas air atau kendi

Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. melarang memecahkan mulutnya tempat-tempat minum." Yakni memecahkan mulutnya lalu minum daripada tempat itu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abu Hurairah r.a katanya, "Rasulullah s.a.w melarang minum dari mulut bekas air atau kendi." (Muttafaq 'alaih)

Larangan memecahkan mulut bekas air dan minum darinya kerana dikhuatirkan air atau kendinya berubah menjadi berbau (kesan dari mulut orang), sehingga orang lain enggan menggunakannya dan air menjadi membazir.

Juga untuk menjaga keselamatan Muslim lain kerana mungkin pada kendi itu terdapat kuman-kuman (yang melekat dari mulut orang yang minum tadi), yang boleh membahayakan, Dan juga mengelakkan dari orang yang meminumnya terlebih minum dari yang diperlukan.


- Afdhal minum sambil duduk

Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Saya memberikan minuman kepada Nabi s.a.w. dari air zamzam, beliau minum sambil berdiri." (Muttafaq 'alaih)

Diperbolehkan minum sambil berdiri kerana keadaan darurat, seperti di tempat yang penuh orang hingga bersesak.

Dari 'Amr bin Syu'aib dari ayahnya dari neneknya lelaki r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah s.a.w. minum sambil berdiri dan duduk." (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih).

Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w. bahawasanya beliau s.a.w. melarang kalau seseorang itu minum sambil berdiri. Qatadah berkata: "Lalu kita bertanya kepada Anas: "Kalau makan, bagaimanakah?" Anas menjawab: "Yang sedemikian itu - yakni yang makan sambil berdiri - adalah lebih buruk." (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan bahwa Nabi s.a.w. melarang minum sambil berdiri.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasuiullah s.a.w. bersabda: "Janganlah sekali-kali seseorang dari engkau semua itu minum sambil berdiri, maka barangsiapa yang lupa, maka hendaklah memuntahkannya." (Riwayat Muslim)


- Orang yang memberi minum orang ramai, sunat minum terakhir sekali

Dari Abu Qatadah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Orang yang memberi minum pada kaum (yakni orang ramai), maka itulah yang terakhir di antara mereka itu," yakni yang terakhir tentang minumnya. (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih).

Di antara tatacara orang yang membahagi minuman atau susu pada orang ramai, atau yang membahagikan makanan, buah-buahan dan seumpamanya kepada jama'ah, mendapat giliran terakhir untuk mendapat habuan mereka sendiri.

Maka barangsiapa yang diberi tugas mengurus umat, maka dia harus berusaha melakukan hal-hal yang bermanfaat bagi mereka, mencegah hal-hal yang dapat menyakiti mereka, serta mendahulukan kepentingan mereka atas kepentingan peribadi.

Penjelasan mengenai hakikat pengutamaan, kerana dalam keadaan seperti itu jiwa benar-benar ingin dan menyukai, sehingga mendahulukan orang lain dari diri sendiri.  Dan seterusnya melatih diri untuk bersabar dan tawadhu'.  Wallahu a'lam.
Akhir kata,apa yang baik itu datang dari Allah,apa yang kurang dan kesilapan itu adalah bersandarkan diri yg hina ini..apa pun ilmu yg dikongsi ini,sebarkanlah dan dikongsi bersama dgn yg lain kerana Nabi Muhammad ada bersabda :“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).
Nabi SAW juga pernah bersabda ; “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”wassalam.:)